Others weblink

Powered by  MyPagerank.Net

Pages

ISLAMICFINDER

Wednesday, 12 March 2008

Sarjana Sastera Melayu Klasik

Sarjana Sastera Melayu Klasik dari Rusia Vladimir I Braginsky dalam pendahuluan untuk bukunya, Tasawuf dan Sastera Melayu mengungkapkan bahawa di Nusantara ini tasawuf telah diserap masuk ke dalam kehidupan umat Melayu: "Sejak akhir abad ke-14 terutama sekali abad ke-16-17, tasawuf selalu memainkan peranan yang sangat penting dalam sejarah, agama dan budaya di kawasan Melayu.

Samudra Pasai (1280-1400) adalah tempat penulisan kitab-kitab agama dan kesusasteraan Melayu. Melaka (1400-1511) juga menampilkan hal yang serupa, ditambah lagi dengan cerita-cerita hikayat pahlawan-pahlawan agung seperti Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhammad Ali Hanafiah yang dibaca untuk memulihkan semangat orang-orang Melayu untuk menentang Portugis pada 1511.

Aceh (1511-1650) memaparkan para sultan yang berminat kepada agama. Pusat pengajian agama didirikan. Sewaktu pemerintahan Sultan-sultan Iskandar Thani, Sultan Iskandar Muda dan Sultan Safiatuddin, ilmu pengetahuan khasnya agama dan tasawuf berkembang pesat. Lahir di sini pujangga Hamzah Fansuri, Samsuddin al-Sumatrani, Nuruddin al-Raniri, Abdul Rauf Singkel, Bukhari al-Jauhari dan lain-lain. Hamzah Fansuri terkenal dengan buku-buku tasawuf aliran Wujudiah.

Suasana yang serupa lahir di Johor-Riau (1650-1800). Raja-raja Riau juga berminat pada ilmu pengetahuan agama dan kesusasteraan. Bandar Penyegat menjadi pusat pengajian Islam dan banyak menerbitkan buku-buku bidang itu. Raja Ahmad, ayah Raja Ali adalah seorang yang sangat gemar pada ilmu agama. Raja Ali Haji adalah antara keluarga diraja yang menjadi alim dalam bahasa dan agama terutamanya usuluddin dan tasawuf.

Peminat-peminat persuratan klasik atau para pembaca yang berhasrat untuk mengetahui buku-buku dan corak ilmu dalam bidang-bidang sastera, fekah, usuluddin, tasawuf, kisah nabi-nabi dan sebagainya bolehlah membaca buku Tengku Iskandar, Kesusasteraan Klasik Melayu Sepanjang Abad (1995). Buku ini sangat menyeluruh tentang tajuk yang dibicarakan di atas. Setelah mengesan sejarah dan perkembangan pemikiran umat Melayu di Nusantara ini, penulis berpendapat senario pemikiran, falsafah hidup dan budaya orang-orang Melayu dahulu berlegar-legar sekitar agama dan kesusasteraan. Alam Melayu dikuasaikan oleh faham ketuhanan, kemanusiaan dan kebudayaan. Bangsa Melayu dan lain-lain suku bangsa di kawasan ini telah menikmati kemajuan-kemajuan dalam bidang ini.


0 comments:

Search This Blog