Others weblink

Powered by  MyPagerank.Net

Pages

ISLAMICFINDER

Friday, 25 April 2008

Kenapa suasana maju tidak terjadi di alam Melayu

Sarjana Sastera Melayu Klasik dari Rusia Vladimir I Braginsky dalam pendahuluan untuk bukunya, Tasawuf dan Sastera Melayu mengungkapkan bahawa di Nusantara ini tasawuf telah diserap masuk ke dalam kehidupan umat Melayu: "Sejak akhir abad ke-14 terutama sekali abad ke-16-17, tasawuf selalu memainkan peranan yang sangat penting dalam sejarah, agama dan budaya di kawasan Melayu.

Bentuk Sufi ternyata bentuk yang paling sesuai dengan mentalitas rakyat-rakyat di dunia kepulauan itu, bagi tersebar luasnya Islam di kalangan mereka. Semangat toleransi yang menjadi kelaziman dalam tasawuf mazhab Ibn Arabi yang agung itu serta juga kecekapan dan kefasihan mubaligh-mubaligh sufi yang tahu jalan-jalan menuju hati, baik para intelek dan aristokrat yang terpelajar mahupun rakyat jelata, sangat mempermudahkan bagi masuknya agama Islam ke dalam semua lapisan masyarakat. (1993, xi)


Samudra Pasai (1280-1400) adalah tempat penulisan kitab-kitab agama dan kesusasteraan Melayu. Melaka (1400-1511) juga menampilkan hal yang serupa, ditambah lagi dengan cerita-cerita hikayat pahlawan-pahlawan agung seperti Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhammad Ali Hanafiah yang dibaca untuk memulihkan semangat orang-orang Melayu untuk menentang Portugis pada 1511.

Aceh (1511-1650) memaparkan para sultan yang berminat kepada agama. Pusat pengajian agama didirikan. Sewaktu pemerintahan Sultan-sultan Iskandar Thani, Sultan Iskandar Muda dan Sultan Safiatuddin, ilmu pengetahuan khasnya agama dan tasawuf berkembang pesat. Lahir di sini pujangga Hamzah Fansuri, Samsuddin al-Sumatrani, Nuruddin al-Raniri, Abdul Rauf Singkel, Bukhari al-Jauhari dan lain-lain. Hamzah Fansuri terkenal dengan buku-buku tasawuf aliran Wujudiah.


Johor-Riau (1650-1800). Raja-raja Riau juga berminat pada ilmu pengetahuan agama dan kesusasteraan. Bandar Penyegat menjadi pusat pengajian Islam dan banyak menerbitkan buku-buku bidang itu. Raja Ahmad, ayah Raja Ali adalah seorang yang sangat gemar pada ilmu agama. Raja Ali Haji adalah antara keluarga diraja yang menjadi alim dalam bahasa dan agama terutamanya usuluddin dan tasawuf.

Buku Tengku Iskandar, Kesusasteraan Klasik Melayu Sepanjang Abad (1995). Buku ini sangat menyeluruh tentang tajuk yang dibicarakan di atas. Setelah mengesan sejarah dan perkembangan pemikiran umat Melayu di Nusantara ini, senario pemikiran, falsafah hidup dan budaya orang-orang Melayu dahulu berlegar-legar sekitar agama dan kesusasteraan. Alam Melayu dikuasaikan oleh faham ketuhanan, kemanusiaan dan kebudayaan. Bangsa Melayu dan lain-lain suku bangsa di kawasan ini telah menikmati kemajuan-kemajuan dalam bidang ini. Namun seperti yang disebutkan di atas, ilmu-ilmu yang ada itu tidak luas dan tidak dapat menyelamatkan umat ini apabila diserang oleh contohnya bangsa-bangsa Barat.

Penentangan yang keras memang ada di lokasi-lokasi serangan yang terjadi, tetapi sejarah memaparkan umat ini kalah lalu tanah air yang subur ini dijajah. Sebab utama di sini ialah bangsa asing itu memiliki kecekapan yang lebih tinggi berbanding dengan kebolehan umat Melayu di daerah ini.

Citra Islam tiba di kawasan kita pada abad ke-13 itu adalah citra Islam yang sudah lemah dan mundur. Tidak seperti yang terjadi di Eropah di abad pertengahan, seperti yang telah disentuh di atas. Ilmu-ilmu yang mengalir ke Eropah meliputi ilmu-ilmu yang mampu memajukan pemikiran dan pencetusan gagasan-gagasan saintifik seperti falsafah, matematik, fizik, perubatan, etika, psikologi, politik, astronomi, kimia, optik, dan muzik.

Ilmu ini diambil dan dipelajari secara serius di Eropah, iaitu di pusat-pusat pengajian tinggi yang telah disebutkan di atas. Sebaliknya setelah umat Islam parah diserang dan ditawan oleh bangsa Tartar dan Baghdad jatuh ke tangan mereka pada tahun 1258, maka ilmu yang disebutkan itu tidak sampai ke sini. Ilmu yang tiba bukanlah dari Baghdad, Harran Iskandariyah, Antiokh iaitu kota-kata intelek dan saintifik, sebaliknya dari Makkah dan Madinah. Dua kota ini adalah kota agama yang penting dalam Islam dan ilmunya juga adalah ilmu-ilmu agama dalam gugusan usuluddin dan syariah serta kaya dengan amalan tasawuf. Inilah ilmu-ilmu yang dipindahkan ke Nusantara.
Umat ini "maju" hanyalah dalam konteks yang terhad. Perkembangan rasionalisme dan saintifik yang disebutkan oleh Naguib juga adalah dirujuk dalam perkembangan-perkembangan ini dan dari sudut perubahan dari Hinduisme-Buddhisme kepada Islam bukan seperti yang berlaku di Eropah di abad pertengahan.

Ilmu-ilmu yang mampu menjana kemajuan dalam erti yang lebih luas tidak sampai ke daerah ini. Oleh itu kita terkebelakang hingga kini. Penjajahan yang berlaku hanyalah menambah parah pada situasi masyarakat yang sudah lemah!

0 comments:

Search This Blog