Others weblink

Powered by  MyPagerank.Net

Pages

Thursday, 23 October 2008

Makam Sultan bukti kedatangan Islam di Perlak

AHLI sejarah Islam membuat banyak kajian bagi menentukan tarikh sebenar kedatangan Islam ke rantau ini. Rata-rata sejarawan berpendapat dakwah Islam bermula di Sumatera seawal abad ketujuh atau kelapan masihi.

Kebanyakan sejarawan Barat menyatakan kemasukan Islam ke Sumatera hanya bermula dari abad ke-13 dan mereka juga berbeza pandangan dalam menentukan kawasan mana di Sumatera yang mula-mula menerima Islam.

Petunjuk sejarah membuktikan pengaruh Syiah lebih awal diterima berikutan rombongan Alawiyyin dari tanah Arab seramai 100 orang dipimpin oleh Nakhoda Khalifah.

Perlak awal kurun kesembilan ialah bandar pelabuhan yang dikuasai pedagang Parsi diketuai Meurah Shahr Nuwi. Beliau mengahwinkan anak perempuannya dengan anggota rombongan Nakhoda Khalifah dari keturunan Ahlul Bait, Ali Muktabar Muhammad bin Ad Diba’ie bin Jaafar As Siddiq yang keturunannya bersambung hingga kepada Saidina Ali bin Abi Talib.

Pasangan itu dikurniakan putera dinamakan Syed Abdul Aziz yang diangkat menjadi Sultan Perlak pertama sekitar tahun 840-an dengan gelaran Sultan Syed Maulana Abdul Aziz Shah.

Dinasti Aziziyah ini bertahan selama lima generasi sebelum beralih kepada dinasti Makhdum pada 928 berikutan perang saudara berpunca dari pertikaian mazhab.

Kekalahan gerakan Alawiyyah ketika zaman Khalifah Abbasiyah, Al-Ma’mun, ada rahmatnya kerana ia membawa ahlul bait ke bumi Aceh, meninggalkan bibit keturunan mulia sepanjang salasilah sultannya.

Episod kedua Jejak Rasul 11 menunjukkan penemuan makam Sultan Alaiddin dan Malikus al-Soleh sebagai bukti kedatangan dan penyebaran Islam di Perlak.

Turut dipaparkan perkembangan semasa di Aceh seperti daerah Lokhsemawe yang menjadi pengeluar gas asli cecair yang banyak menyumbang kepada ekonomi Indonesia dan walaupun dilanda tragedi tsunami, sektor petroleum Aceh tidak terjejas.

Malah, ombak besar yang membelah Aceh kepada tiga bahagian tidak menghilangkan kesan sejarah Islam yang dibongkar krew Jejak Rasul yang membuat penggambaran di sana untuk mengimbau kisah penyebaran Islam yang bermula dari sana.

Selain perkahwinan, Islam subur melalui pendidikan di mana zawiyah atau dayah yang menjadi pusat pengajian dan dakwah didukung oleh ulama aliran Syiah hingga Islam tersebar serta bertapak kukuh di pesisir utara pulau Sumatera.

Bagaimanapun, aliran Sunni turut bertapak di situ melalui pedagang yang juga pendakwah Islam bermazhab sunni.

Akhirnya, timbul perbalahan antara dua aliran berkenaan seperti yang berlaku di tanah Arab sehingga meletusnya perang saudara mengakibatkan dinasti Aziziyah Alawiyah berakhir, diganti dengan dinasti Makhdum.

Malangnya, peperangan meletus lagi dan Perlak terbahagi dua di mana Perlak Baroh atau Bandar Khalifah ditadbir Sultan beraliran Syiah manakala Perlak Tunong dikuasai kerajaan sunni.

Pada awal kurun ke-11, kerajaan Perlak yang berpecah itu akhirnya disatukan semula oleh Sultan Perlak ke-9, Alaidin Malik Ibrahim Shah berdaulat yang memerintah dari 1012 hingga 1059.

Dalam pada itu, muncul kerajaan Islam yang baru, Samudera Pasai yang melahirkan Sultan berilmu dan beriman apabila seorang puteri Sultan Perlak, Puteri Raihani atau Ganggang Sari dikahwinkan dengan Sultan Samudera Pasai, Malikus al-Soleh.

Dengan perkahwinan itu, muncul kerajaan Islam yang lebih besar kerana akhirnya kerajaan Perlak menjadi sebahagian wilayah Samudera Pasai.

Bagaimanapun sumber sejarah Melayu dan hikayat raja-raja Pasai menyebut Malikus al-Soleh, raja pertama memeluk Islam di kepulauan Melayu, sekali gus adalah sultan pertama kerajaan Samudera Pasai.

0 comments:

Search This Blog