Pages

Search This Blog

Loading...

Wednesday, 4 March 2009

Perjanjian Inggeris-Belanda 1824


Perjanjian ini ditandatangani untuk mengatasi masalah antara Inggeris dan Belanda yang mana hubungan keduanya dalam keadaan tegang dan dengan adanya kepentingan-kepentingan mereka yang tersendiri. Perjanjian tersebut merupakan peristiwa penting dalam sejarah Tanah Melayu dan juga Indonesia.






Faktor-faktor membawa kepada perjanjian

1. Persaingan perdagangan di Timur

Sejak kedatangan pihak Belanda dan British di Timur terutamanya di Asia Tenggara pada awal abad ke-17, kedua-dua ini sudah tidak mempunyai perhubungan baik. Perselisihan sentiasa timbul atas dasar perdagangan yang diamalkan iaitu sikap Belanda yang menjalankan dasat ingin memonopoli perdagangan di Asia Tenggara manakala orang Inggeris berpendapat semua bangsa mempunyai hak dan kebebasan untuk berdagang di rantau ini. Hubungan yang buruk ini semakin meruncing kerana terdapat pegawai-pegawai Belanda yang bersifat anti-Inggeris iaitu Jan Peterzoon Coen dan Van der Capellan, kedua-duanya ialah Gabenor Jeneral Betawi.




Jan Peterzoon Coen

Bagi pihak Inggeris pula yang bersifat anti-Belanda ialah John Jourdain. Jan Peterzoon Coen menyerang orang Inggeris di Jakarta dengan tujuan menghalau mereka keluar dari Pulau Jawa (1619)

2. Dasar persahabatan Inggeris-Belanda di Eropah

Bagi British persahabatannya dengan Belanda adalah penting dari segi “pertahanan/keselamatan”. Ini disebabkan kedudukan antara Belanda dengan British adalah berdekatan. Belanda ialah tempat yang paling sesuai digunakan oleh pihak musuh sebagai tapak untuk menyerang British ini terjadi pada tahun 1795, apabila Napoleon Bonaparte menggunakan negeri Belanda sebagai pusat gerakan tenteranya untuk menyerang British.

Keinginan British untuk berbaik-baik dengan Belanda jelas kelihatan dalam Konvensyen 1815 yang berlangsung selepas tamatnya Perang Napoleon. Inggeris telah bersetuju untuk menyerahkan Jawa pada tahun 1816 dan Melaka pada tahun 1818 kepada Belanda.

3. Dasar-dasar Raffles di Singapura dan pertelingkahan mengenai Singapura

Stamford Raffles menentang keputusan pihak British yang hendak memulangkan Pulau Jawa kepada Belanda. Raffles berpendapat bahawa Pulau Jawa amat penting bagi strategi British sama ada dari segi perdagangan mahupun ketenteraan. Tambahan pula, Pulau Pinang yang dibuka pada tahun 1786 tidak lagi dapat berfungsi sebagai pusat perdagangan.

Raffles berhasrat membuka sebuah pelabuhan yang berkedudukan strategik untuk bersaing dengan pelabuhan Betawi dan menyekat pengaruh Belanda di Hindia Timur. Akhirnya, beliau telah berjaya membuka Singapura pada tahun 1819.

4. Kemajuan Singapura

Gabenor Jeneral Lord Hastings menolak dakwaan Belanda memandangkan Singapura merupakan sebuah pelabuhan bertaraf bebas yang membawa keuntungan kepada pihak Inggeris. Dalam jangka masa setahun sahaja, nilai perdagangan melebihi $4 juta. Pada tahun 1823, nilai perdagangan Singapura bertambah kepada $13.2 juta. Selain itu, penduduk di Singapura juga meningkat kepada 10000 orang. Dalam keadaan ini, saudagar-saudagar SHTI di Calcutta mendesak petempatan Singapura dikekalkan.

5. Masalah kewangan Belanda

Belanda menghadapi krisis kewangan yang amat teruk akibat daripada Perang Napoleon. Mereka telah kehilangan perusahaan perkapalan dan perdagangannya yang diambil alih oleh British. Kini VOC hampir dengan garis kebankrapan. Untuk mengelakkannya daripada berlaku, VOC telah berhutang kepada pihak British.

Hutang Belanda pada tahun 1815 ialah 600 juta Florin dimana British telah memberi bantuan dan pinjaman sebanyak £144 juta.


Apabila VOC dibubarkan pada tahun 1799, Kerajaan Belanda bertanggungjawab memikul beban hutang yang ditinggalkannya. Untuk menyelesaikan masalah ini, Belanda telah mengambil langkah untuk berunding dengan British bagi mencapai suatu persefahaman melalui perjanjian selain mengelakkan pertempuran daripada berlaku.

Perjanjian Inggeris-Belanda telah ditandatangani pada 17 Mac 1824 di London. Pihak British diwakili oleh George Canning dan pihak Belanda pula diwakili oleh Charles W. Wymn. Kandungan perjanjiannya ialah:

1. Syarat-syarat kewilayahan

Belanda menarik balik bantahannya terhadap pendudukan British di Singapura. British bersetuju tidak membuat sebarang pelabuhan di Pulau-pulai Karimon, Bantam, Bintang, Lingga atau di pulau-pulau yang terletak di selatan Selat Singapura. British juga bersetuju tidak akan membuat perjanjian dengan ketua-ketua di pulau-pulau tersebut.


British menarik semula bantahannya terhadap pendudukan Belanda di Pulau Belitong dan lain-lain kawasan.

Bandar dan pelabuhan Melaka serta tanah jajahannya diserahkan kepada British. Belanda bersetuju tidak akan membuat sebarang perjanjian atau pelabuhan di kawasan tersebut.

Bangkahulu di Sumatera diserahkan kepada Belanda. British bersetuju tidak akan membuat tempat persinggahan atau perjanjian dengan ketua-ketua di Sumatera.

Belanda menyerahkan semua lojinya di India serta hak istimewanya yang ada kepada British. Belanda juga akan membayar sebanyak £100,000 kepada Britsh sebagai penyelesaian hutang-piutangnya.

Wilayah-wilayah tersebut tidak boleh diberikan kepada kuasa-kuasa lain. Jika salah satu kuasa itu meninggalkannya, wilayah itu mestilah diserahkan kepada kuasa yang satu lagi.

Semua penduduk di wilayah jajahan yang telah ditukarkan diberi tempoh selama 6 bulan untuk menguruskan harta mereka sekiranya mereka hendak berpindah ke negeri-negeri yang mereka pilih.

Perpindahan hak-hak kedua-dua pihak hendaklah mula dijalankan pada 1 Mac 1825.2. Syarat-syarat perdagangan

Kedua-dua pihak bersetuju membenarkan saudagar mereka menjalankan perniagaan di Kepulauan Timur, India dan Ceylon dengan hak masing-masing. Kedua-dua pihak hendaklah mengikuti peraturan-peraturan perdagangan di tiap-tiap kawasan.

Rakyat dari satu negeri mestilah membayar cukai tidak lebih daripada bayaran yang dikenakan kepada rakyat dari negeri yang mempunyai pelabuhan.

Kedua-dua pihak mestilah mengarahkan rakyat, pihak yang berkuasa tentera dan awam supaya menghormati kebebasan perdagangan.

Kedua-dua pihak mestilah menghapuskan lanun-lanun di laut sebelah timur dan jangan membenarkan lanun-lanun menjual barang-barang dagangan mereka di kawasan atau daerah kepunyaan mereka.

Pelabuhan-pelabuhan yang baru tidak dibenarkan ditubuhkan di Kepulauan Timur tanpa mendapat pengesahan terlebih dahulu dari kerajaan mereka di Eropah.

British mengakui monopoli Belanda terhadap perdagangan rempah di Kepulauan Maluku.

No comments: